Al Fatehah ada tujuh ayat. Kalau kita lihat,     tujuh ayat dalam Al Fatehah itu dirangkapkan dua ayat, dua ayat. Ia     seolah-olah berbentuk sajak. Hujungnya disamakan iaitu sama ada huruf mim     atau huruf nun di akhir setiap ayat. Ada ayat yang berakhir dengan 'mim'     dan ada ayat yang akhirnya dengan 'nun'. Ayatnya seolah-olah bahagian     akhirnya dipasang-pasangkan.
   
    Sebenarnya dalam jumlah ayat Al Fatehah yang tujuh ini, ada hikmah yang     besar. Secara isyarat, ia ada hubungan dengan manusia dan dengan ciptaan     Tuhan. Antaranya ialah:
   
    1. Tujuh ayat menggambarkan tujuh hari dalam seminggu
   
    Dalam tujuh hari itulah sama ada manusia hendak jadi jahat atau jadi baik,     dapat rahmat atau dapat laknat, dapat bahagia atau celaka, jadi kafir atau     jadi mukmin, kaya atau susah, sakit atau sihat. Apakah ada hari yang lain     selain daripada tujuh hari itu (yakni Ahad hingga Sabtu)? Tentu tidak.     Ertinya dalam masa seminggu, kalau seseorang itu benar-benar menghayati Al     Quran; yang intipatinya ada dalam tujuh ayat Fatehah itu, sehingga ia     benar-benar berperanan dalam hidupnya, maka dalam seminggu itu dia boleh     selamat. Kalau Fatehah tidak berperanan pada dirinya dalam seminggu, maka     akan kena laknatlah dia. Huru-hara, haru-biru dan celakalah hidupnya.
   
    2. Tujuh ayat berkait dengan tujuh anggota badan
   
    Dalam seminggu itu sama ada manusia jadi baik atau buruk, ditentukan oleh     anggota yang tujuh. Sebab itu dalam sembahyang; yang mana sembahyang itu     adalah rukun Islam yang kedua; kesemua tujuh anggota ini terlibat atau     digunakan. Kalau agama lain, mereka menyembah Tuhan tidak melibatkan semua     anggota. Sebaliknya dalam ajaran Islam, semua anggota terlibat untuk tunduk     dan patuh kepada Tuhan.
    
    Ketujuh-tujuh anggota itu ialah:
   
    a. Kepala - ini termasuklah anggota-anggota yang ada di kepala seperti     mata, mulut, telinga, lidah dan lain-lain. Kegunaan kepala pula ada     bermacam-macam jenis.
    b. Dua tangan - ia juga banyak peranannya. Ia boleh berbuat baik atau     berbuat jahat, boleh bunuh orang, boleh selamatkan atau celakakan orang.
    c. Kedua-dua lutut
    d. Kedua-dua tapak kaki
   
    Dalam sembahyang, anggota-anggota sujud itu merupakan tujuh anggota penting     tubuh manusia. Semuanya terlibat dalam solat. Dalam doa Iftitah kita     menyebut, "Hidupku dan matiku adalah untuk Allah." Ertinya semua     anggota yang penting dalam diri kita ini secara tidak langsung sudah kita     ikrarkan bahawa kita serahkan pada Allah. Ertinya kita akan menggunakannya     ke jalan Allah sebagaimana yang Allah kehendaki. Oleh itu kalau kita sedari     dan hayati, apa yang disebut dalam bacaan melibatkan juga anggota dalam     perbuatan.
   
    3. Tujuh ayat berkait dengan tujuh Neraka dan tujuh Syurga
   
    Al Fatehah ada tujuh ayat. Kalau intipati Quran dapat dihayati atau tidak     dapat dihayati, itu yang akan menentukan nasib seseorang nanti sama ada     Neraka yang tujuh atau Syurga yang tujuh. Semua ditentukan oleh intipati Al     Fatehah. Kalau Al Fatehah berperanan dalam hidupnya, dia akan dapat salah     satu dari tujuh peringkat Syurga. Kalau tidak dapat dihayati dan tidak     dapat dijadikan amalan hidup, dia akan masuk salah satu dari tujuh     peringkat Neraka.
   
    4. Tujuh ayat itu juga menggambarkan di dunia ini ada tujuh lapis langit     dan tujuh lapis bumi
    Di langit ada macam-macam makhluk Tuhan yang ada hubungan dengan kehidupan     manusia. Demikian juga dengan tujuh lapis bumi yang ada hubungan dengan     kehidupan manusia. Ramai ahli sains yang membuat kajian sudah     mengesahkannya tetapi ia setakat hubungan yang lahir.
   
    Sebenarnya ia bukan sekadar hubungan yang lahir sahaja. Manusia bukan hanya     berhubung dengan matahari, bulan dan bintang sahaja. Tidak juga hanya berhubungan     dengan isi bumi, lautan, hutan, binatang, tanaman dan seumpamanya. Bahkan     manusia juga berhubung rapat dengan makhluk yang ghaib seperti malaikat.
   
    Malaikat juga menentukan hidup manusia. Kenapa? Sebab ia juga tumpang     mendoakan manusia pada Tuhan dan ia juga boleh tumpang melaknat manusia.     Tetapi hal yang ghaib ini ahli sains tidak dapat kesan. Mereka hanya mampu     kesan yang lahir seperti hubungan matahari dengan manusia, hubungan bulan,     pasang surut air laut, bintang-bintang dengan kehidupan manusia. Tentang     malaikat, mereka tidak tahu.
    Padahal malaikat ikut campur tangan dalam menentukan keselamatan manusia.     Mereka juga mendoakan dan memberi berkat dengan izin Tuhan. Mereka juga     melaknat manusia dengan izin Tuhan kerana kederhakaan manusia. Perkara yang     ghaib ini ahli rohani sahaja yang boleh kesan tetapi saintis tidak boleh     kesan.
   
    Selain malaikat, jin-jin juga ada hubungan dengan hidup manusia. Ini tidak     dapat dikesan oleh ahli sains, tetapi boleh dikesan oleh ahli-ahli rohani.     Apa maksud jin-jin juga terlibat? Jin itu hidupnya ditumpangkan dengan     manusia. Dia bergaul dengan manusia. Oleh sebab itu, apa bahasa manusia     itulah bahasa jin. Kalau di Malaysia menggunakan bahasa Melayu, jin pun     bercakap dalam bahasa Melayu. Di Indonesia, jin bercakap bahasa Indonesia.     Kalaulah di Malaysia ada jin yang berbahasa Indonesia, bermakna jin itu     berasal dari Indonesia. Jin di negara Arab berbahasa Arab. Jadi jin tumpang     bahasa manusia itu untuk menunjukkan manusia lebih mulia dari jin.
   
    Selain itu, jin juga tumpang belajar dengan manusia. Firman Allah di dalam     Al Quran:
    Maksudnya: "Dan (ingatlah) ketika Kami hadapkan serombongan jin     kepadamu yang mendengarkan Al Quran, maka tatkala mereka menghadiri     pembacaan (nya) lalu mereka berkata, 'Diamlah kamu (untuk mendengarkannya)     .' Ketika pembacaan itu selesai mereka kembali kepada kaumnya (untuk)     memberi peringatan." (Al Ahqaf: 29)
   
    Mujurlah kita tidak nampak jin sebab kita tidak akan sanggup hendak     melihatnya. Begitu juga soal makan. Jin kafir makan tulang-tulang haiwan     yang disembelih oleh orang kafir. Jin Islam pula tumpang makan     tulang-tulang binatang yang disembelih oleh orang Islam. Oleh sebab itu     berhati-hatilah apabila membuang tulang. Buanglah pada tempatnya. Kalau     tulang-tulang itu dibiarkan bersepah, jika ada jin yang datang untuk makan     lalu terlanggar anak kita maka akan timbul masalah.
   
    5. Tujuh ayat ini kalau kita jadikan panduan, ia boleh didik nafsu kita     yang tujuh peringkat.
    Inilah hikmah terpenting dari jumlah ayat Al Fatehah yang tujuh itu. Makin     kita hayati, makin kita dapat mendidik diri dan nafsu kita. Bila     dikategorikan, nafsu manusia ada tujuh peringkat iaitu:
    i. Nafsu ammarah
    ii. Nafsu lawwamah
    iii. Nafsu mulhamah
    iv. Nafsu mutmainnah
    v. Nafsu radhiah
    vi. Nafsu mardhiah
    vii. Nafsu kamilah
   
    Isi Al Quran itu terkandung dalam Al Fatehah yang terdiri dari tujuh ayat.     Nafsu ada tujuh peringkat dan ayat Al Fatehah juga ada tujuh. Itu bukan     kebetulan. Hikmahnya adalah, kalau Al Fatehah ini dihayati, nafsu boleh     menjadi baik. Nafsu itulah yang menentukan celaka atau bahagia, patuh atau     tidak patuhnya kita pada Tuhan. Paling-paling lemah, Al Fatehah atau isi Al     Quran ini dapat mendidik nafsu sampai ke peringkat mulhamah. Walaupun nafsu     mulhamah ini masih belum mantap, masih goyang tapi itu pun dikira sudah baik.     Itulah nafsu orang soleh. Manakala mutmainnah pula, ia peringkat nafsu yang     sudah istiqamah, sudah tetap serta tidak mudah goyang.
   
    Di sini juga dapat kita faham bahawa manusia akan bermula dengan nafsu yang     paling jahat kepada nafsu yang paling baik kalau dia benar-benar     mengendalikan nafsunya itu. Kalaulah manusia menghabiskan banyak masanya     untuk mempelajari hal-hal yang berkaitan dengan nafsu dan mempraktikkannya,     sesungguhnya manusia akan mampu meningkatkan dirinya dari tahap ke tahap.     Dia akan dapat meningkatkan dirinya daripada bernafsu ammarah kepada     lawwamah, mulhamah, mutmainnah dan paling tinggi akan sampai kepada     mardhiah. Namun ada di kalangan manusia yang mampu sampai kepada nafsu     kamilah; nafsu yang paling atas; iaitu para nabi dan rasul. Manusia biasa     boleh menjangkau sampai nafsu mardhiah sahaja kalau dia sangat berusaha     mengendalikan nafsunya.
   
    Cara untuk kita mengendalikan nafsu hingga sampai ke taraf malaikat, itu     semua mesti dirujuk kepada Al Quran. Ia tidak boleh dirujuk kepada ilmu jenis     lain. Siapa yang boleh menguasai Al Quran sepenuhnya dan mempraktikkan Al     Quran terhadap nafsunya, maka dia akan merasai bagaimana dia merangkak     beralih dari satu tahap ke satu tahap. Hebatnya Allah kerana menciptakan     dalam diri manusia, satu nafsu yang tidak boleh dilihat tetapi memang     berperanan. Kalau manusia mahu, dia boleh mentadbir nafsunya itu. Tetapi     untuk itu ianya mesti dirujuk kepada Al Quran.
   
    Ayat Al Quran itu terlalu banyak, namun Allah yang Maha Bijak telah meminta     kita memberi tumpuan kepada tujuh ayat sahaja. Kalau kita boleh mengambil     tujuh ayat ini untuk kita kuasai segala kekuatan yang ada di dalamnya maka     kita akan boleh mengendalikan nafsu kita. Yang sebenarnya kalau kita boleh     kuasai tujuh ayat itu, kita boleh sampai ke peringkat ketujuh, yang mana     nafsu itu boleh kita tadbir dan kuasai. Nabi-nabi boleh melakukannya hingga     mereka sampai peringkat ketujuh itu.
   
    Allah yang menciptakan nafsu itu tujuh peringkat, tahu untuk memadankannya     dengan tujuh ayat dari surah Al Fatehah itu. Allah SWT menetapkan kekuatan     tujuh ayat Al Fatehah itu boleh mengendalikan tujuh peringkat nafsu itu     walaupun sifatnya tidak sama. Namun kita seperti diberi amaran bahawa     kebanyakan manusia tidak akan mampu untuk mengambil seluruh kekuatan Al     Fatehah itu untuk memerangi nafsu sehingga peringkat tertinggi melainkan     setakat mulhamah atau paling tinggi mutmainnah.
   
    Maha Besar Tuhan yang mampu mencipta tujuh ayat yang dengan kekuatannya     mampu berhadapan dengan tujuh peringkat nafsu. Saintis pun tidak pernah     boleh mengesan kehadiran nafsu itu tetapi Allah boleh wujudkannya dan Allah     berkata bahawa Dia membuatnya sebanyak tujuh jenis. Namun orang rohani yang     diberi ilham oleh Allah boleh melihat kekuatan Al Fatehah ini yang     dirangkum dalam tujuh ayat. Rupanya walaupun ilmunya ilham tetapi ia     bersifat falsafah. Iaitu melihat keajaiban ciptaan Tuhan merangkumkan     kekuatan 6,666 ayat itu ke dalam tujuh ayat sahaja yang mana ia boleh     dipakai untuk mengendalikan tujuh peringkat nafsu. Ia bukan kebetulan.     Seseorang yang dhaif dalam mengambil tujuh ayat ini maka dia akan dhaif     dalam mengendalikan tujuh tahap nafsu itu.
   
    Jadi di sini kita sudah nampak kebesaran Fatehah padahal baru memperkatakan     kulit atau muqaddimahnya sahaja. Baru di pintu Fatehah, belum masuk ke     dalam tetapi sudah nampak besar isinya. Oleh sebab itulah saya lebih suka     mengatakan Al Fatehah itu 'Surah Yang Dapat Kemenangan' daripada menamakan     ia 'Surah Pembukaan'.
   
    Kalau ulama masyhurkan Al Fatehah itu sebagai Surah Pembukaan kerana ia     diletak di depan Al Quran, itu tidak salah tetapi bagi saya elok     dimasyhurkan sebagai Surah Kemenangan sebab pengertiannya lebih luas. Ini     kerana ia merangkumi semua kehidupan langit dan bumi, yang ghaib dan rohani     seperti Syurga, Neraka, nafsu dan lain-lain. Tuhan sendiri dalam menamakan     surah ini menggunakan isim fi'il - 'yang telah mendapat kemenangan'. Lebih     baik makna ini kita masyhurkan kerana Surah Fatehah itu menentukan     seseorang itu mendapat kemenangan atau tidak sama ada di dunia mahupun di     Akhirat. Agar dengan itu hidup ini dipandang berat dan tidak disia-siakan.     Jangan dianggap semuanya kebetulan. Ia ada hubung kaitnya dengan hidup     kita.
Thursday, August 27, 2009
RAHSIA 7 AYAT AL-FATIHAH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



0 comment maut:
Post a Comment